Dr Yusuf Qardhawi dengan lantang menyerang sekular dan pendokong-pendokongnya. Di bawah adalah petikan dari buku yang mesti dimiliki oleh setiap muslim yang peka dengan dunia sekitarnya.
1. SEKULAR MENENTANG AGAMA
Kami telah menyatakan bahawa Sekular adalah ditolak di dalam Negara Islam secara umumnya dan di Mesir khususnya atas apa-apa penilaian sekalipun khususnya penilaian agama.
Apabila kita berhukum dengan agama, iaitu agama yang dianuti oleh majoriti penduduk Negara Islam dan kita menerima hukum Islam, kita akan mendapati Islam menolak secara putus terhadap Sekular. Ini disebabkan Sekular tidak dapat duduk semeja bersama dengan Islam sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah .
Sekular mungkin menerima Islam sebagai satu akidah dalam hati individu tetapi ia tidak dapat menerima akidah Islam sebagai asas bagi kesetiaan ( wala ), penggabungan diri ( intima’ ) dan ia tidak menerima hakikat bahawa di antara tuntutan akidah ialah beriltizam dengan hukum Allah dan RasulNya.
Sekular mungkin menerima Islam sebagai ibadah dan upacara sahaja tetapi amalannya adalah terserah kepada individu dan Negara tidak wajib mengawasi atau mengawal dan memaksa mereka untuk beriltizam dengannya.
Sekular mungkin menerima Islam sebagai satu adab dan akhlak tetapi dalam perkara yang tidak menyentuh aliran masyarakat umum kerana ia meniru Barat. Para pendokong Sekular menganggap prinsip mereka adalah menjadikan acuan Barat sebagai asas dan pegangan yang boleh mengatasi adat dan budaya kita dalam cara makan, berpakaian, perhiasan, tempat tinggal, hubungan lelaki dan wanita serta seumpamanya. Mereka mengenepikan terus ketetapan halal dan haram Allah ke atas individu dan masyarakat Islam.
Perkara yang ditentang oleh Sekular secara terang dan berani ialah masalah syariah yang mengatur hukum bagi kehidupan umat Islam, syariah yang telah menetapkan ciri petunjuk yang selamat daripada penyelewengan kesesatan sama ada dalam urusan kekeluargaan, masyarakat, kenegaraan, hubungan dalaman, luaran dan sewaktu damai ataupun semasa perang yang dinyatakan oleh Fikah Islam dalam pelbagai aliran mazhabnya. Fikah Islam telah meninggalkan untuk kita khazanah perundangan yang banyak yang mana kita tidak perlu mengimpot undang-undang orang lain. Undang-undang orang lain bukannya lahir di negeri kita juga bukannya bersumberkan akidah, nilai dan adat kita. Jelasnya ia tetap asing bagi kita dan terus mengikat pemikiran dan hati kita dengan penjajahan luar yang telah dipaksakan kepada kita tanpa sebarang pilihan dan kehendak daripada diri kita.
Inilah kedudukan undang-undang ciptaan Barat bagi kita. Tetapi golongan Sekular menerimanya dan menolak syariah Allah. Mereka memelihara ‘ anak haram’ dan melupakan anak sendiri.
Sekular mengambil daripada Islam apa yang menepati kehendak nafsunya dan menolak perkara yang bertentangan dengan nafsunya. Beriman dengan sebahagian al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain sebagaimana yang telah dilakukan oleh Bani Israel pada zaman dahulu, lantas Allah menyergah mereka dengan celaan yang keras dalam firmannya yang bermaksud : “Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”.( Al-Baqarah ayat 85 ).
Oleh sebab itulah Sekular mengisytiharkan permusuhan terhadap agama iaitu Islam, yang telah diturunkan oleh Allah sebagai satu sistem yang syumul bagi kehidupan sebagaimana Islam telah mengisytiharkan juga permusuhan terhadapnya kerana Sekular mencabar kekuasaan syariah dalam memimpin masyarakat, mengarah haluannya berdasarkan perintah dan larangan Allah serta berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah kepada RasulNya. Apabila masyarakat tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, tanpa ragu lagi dia akan terjatuh dalam hukum jahiliyyah yang mana Allah telah memberikan amaran keras tentang hal ini kepada RasulNya dan orang-orang yang beriman setelahnya.
Firman Allah bermaksud : “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari pada Allah. ( Al Maidah ayat 49-50 )
Sekular berdasarkan pandangan agama adalah satu seruan yang ditolak kerana ia adalah seruan kepada pemerintahan jahiliyyah yang bererti berhukum dengan undang-undang ciptaan manusia dan bukannya berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah.
Sesungguhnya ia adalah satu seruan yang mencabar pengetahuan Allah dan mempertikaikan syariah dan hukumnya! Seolah-olah ia berkata kepada Allah, Tuhan semesta Alam : “Kami lebih tahu daripada kamu tentang perkara yang baik untuk kami. Undang-undang yang dibawakan oleh orang Barat ke Negara kami pada zaman penjajahan adalah merupakan petunjuk yang terbaik berbanding hukum syariah kamu!”. Maka apakah yang dapat kita sifatkan terhadap mereka yang berpegang dengan pendapat ini terhadap Allah dan syariahnya!!.
2. SEKULAR DAN ISLAM
Sekular tidak bersikap berkecuali bila berhadapan dengan Islam dan ia tidak mungkin bersikap berkecuali sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian pendokong Sekular berbangsa Arab. Perkara ini bagi Islam juga adalah satu perkara yang mustahil akan berlaku.
Islam menghadapi Sekular dengan segala kesyumulannya yang mencakupi semua sudut kehidupan manusia dari sudut material dan spiritual, individu dan masyarakat kerana Sekular tidak akan menerima kesyumulan ini, maka tidak ada jalan keluar kecuali pertembungan pasti akan berlaku.
Kristian mungkin boleh menerima pembahagian kehidupan manusia kepada dua bahagian iaitu bahagian agama dan satu bahagian lagi untuk Negara ataupun dengan ungkapan Injil sendiri.
“Berikan Kaisar hak Kaisar dan berikan Tuhan hak tuhan!”
Adapun Islam, ia memandang kehidupan adalah satu dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Ia memandang manusia sebagai satu kerangka yang satu dan tidak terpisah. Ia melihat Allah adalah Tuhan bagi kehidupan dan manusia keseluruhannya. Islam tidak akan menerima Kaisar sebagai rakan kongsi bagi Allah kerana langit dan bumi serta segala isinya adalah milik Allah. Segala milik Kaisar adalah semuanya milik Allah!. Dia tidak dibenarkan untuk merompak sebahagian daripada kehidupan dan mengarahkannya jauh daripada petunjuk Allah.
Islam mahu mengarahkan kehidupan seluruhnya mengikut arahan dan hukumnya, juga mencelupkan kehidupan dengan Islam yang merupakan celupan Allah.
Firman Allah yang bermaksud : “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah):) Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? ( Al Baqarah ayat 138).
Ia memahatkan pada rohnya yang suci iaitu yang bermatlamat rabbaniyyah ( ketuhanan), bertunjangkan akhlak dan berisikan kemanusiaan.
Islam akan menemani manusia dengan arahan dan perundangan dalam menjalani perjalanan kehidupan semenjak dia dilahirkan hinggalah ia mati, bahkan sebelum dia dilahirkan dan selepas dia dimatikan.
Islam tidak redha untuk menjadi perkara tambahan dan bukannya menjadi tiang asas, tidak redha menjadi pinggiran dan bukannya menjadi asas pokok, tidak redha memberikan kepimpinan kepada yang lain lalu dia hanya patuh dan taat sahaja kepadanya!.
Tabiat Islam adalah ia menjadi pemimpin dan bukannya pengikut, menjadi tuan bukannya hamba kerana ia adalah kalimah Allah dan kalimah Allah sahajalah yang tertinggi. Oleh itu dialah yang paling tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.
Sekular mahukan Islam menjadi pengikutnya, diperintah menurut perintahnya dan dilarang menurut larangannya. Sekular tidak membenarkan Islam untuk mengambil kedudukannya yang tabie, mantiqi (logic ) dan berdasarkan sejarahnya, yang mana dialah yang menyuruh dan melarang, memerintah dan memberikan petunjuk.
Sekular akan senang dan redha dengan Islam sekiranya ia kekal terpencil di tempat lahir dan kematian sahaja, duduk dalam alam darwisy dan pertapaan sahaja juga dalam alam khurafat dan dongengan. Adapun untuk menggerak dan bergerak menghalakan kemudi pemuda, memimpin rakyat, meledakkan kekuatan, menyinarkan akal, mencetuskan semangat, menciptakan pahlawan, mendidik tokoh, menentukan arah perjalanan masyarakat, menurut kebenaran, mendirikan timbangan yang adil dikalangan manusia, memerintahkan dengan makruf kepada mereka, melarang kemungkaran, memerangi penyelewengan dan kerosakkan ….. semuanya ini tidak akan diredhai oleh Sekular sama sekali.
Sekular mahukan Islam untuk berpada dengan satu sudut atau arah dalam sebahagian kehidupan, tidak melebihi dan mengatasinya. Kedudukan inipun sudah merupakan satu sumbangan terbaik Sekular untuknya kerana pada perinsipnya kehidupan seluruhnya adalah untuk Sekular tanpa rakan kongsi mahupun penyaing!
Islam sewajarnya berpada dengan ceramah agama di radio ataupun televisyen!
Berpada dengan halaman agama di dalam akhbar yang terbit pada hari Jumaat!
Berpada dengan beberapa waktu pendidikan Islam dalam sistem pendidikan umum!
Berpada dengan undang-undang keluarga dalam bidang perundangan!
Berpada dengan masjid sebagai institusi dalam masyarakat!
Berpada dengan Kementerian Agama dalam Kabinet Negara!
Islam hendaklah berpada dengan itu semua dan Islam tidak boleh menjeling kepada sudut yang lebih daripada itu. Bahkan Islam hendaklah bersyukur dan terhutang budi dengan Sekular yang memberikan dia ruang untuk menjengukkan kepalanya daripada ruang tingkap tersebut ataupun daripada sudut yang telah ditentukan!.
Islam dengan tabiat asalnya menolak untuk dijadikan sekadar pada satu sudut dalam kehidupan kerana ia adalah penentu arah kehidupan dan penciptanya. Ia menolak untuk dijadikan sekadar sebagai tetamu kepada Sekular sedangkan Islam sebenarnya adalah pemilik rumah!
Dari sini, Islam pasti akan bertembung dengan Sekular. Hal ini pasti akan berlaku dalam banyak ruang kehidupan. Keduanya akan bertembung dalam semua ruang pengajaran yang empat iaitu bidang akidah, ibadah, akhlak dan perundangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan