Powered By Blogger

Ahad, 27 April 2008

Kenapa Memilih PAS??

Saya bukanlah ahli PAS mahu pun wakil rakyat PAS ataupun jentera pilihanraya PAS akan tetapi cuma sekadar ingin berkongsi ilmu yang saya dapat daripada sahabat saya yang sedang berjuang atas nama PAS.
Kisahnya bermula apabila saya merasakan sesuatu kepelikan apabila para sahabat saya ni amat bersemangat berjuang atas menggunakan wasilah PAS walaupun PAS mengalami kekalahan yang amat teruk pada pilihanraya yang lepas khususnya di Terengganu. Saya melihat kebanyakan ahli-ahli PAS ni sudah patah semangat kerana kekalahan tersebut akan tetapi saya melihat dimuka sahabat saya ini tidak pernah terpancar kemuraman akibat kekalahan tersebut malah lebih bersemangat lagi! Pelikkan? Dah la kalah tapi masih bersemangat dan masih ingin berjuang tanpa henti-henti.

Untuk mengelak daripada persoalan itu bermain di kepala, sayapun cubalah mengorek rahsia sahabat saya ni yang saya gelarkan sebagai Hamid. Hamid hanya tersenyum sahaja apabila saya bertanya akan hal tu. Perkara pokok pertanyaan saya ialah mengapa Hamid memilih PAS sebagai wadah perjuangan Islam, padahal banyak lagi cara untuk berjuang untuk Islam mengapa PAS dipilih sedangkan PAS hanya memperjuangkan politik sahaja, mengapa Hamid tidak memilih organisasi yang lain? Sebagai contohnya Hamid boleh berjuang mengikut saluran Umno yang membawa Islam Hadhari yang nampaknya diterima oleh rakyat Malaysia berikutan kemenangan pilihanraya yang lepas ataupun Hamid boleh berjuang bersama-sama ABIM, JIM mahupun Tabligh sekalipun! Mereka juga memperjuangkan Islam. Mengapa PAS juga dipilih oleh Hamid?

Hamid dengan berwajah tenang menjawab kesemua soalan yang diajukan dengan penuh ilmiah. Terasa keikhlasan dihatinya menjawab semua soalan yang diajukan oleh saya ini yang serba kekurangan ilmu. Maaf Hamid kalau dulu saya terkasar bahasa menanyakan soalan.

Disini saya sertakan jawapan Hamid yang saya rasakan patut saya kongsikan kepada anda semua.
Jawapan Hamid kepada Saya...


Wahai sahabatku, adalah menjadi satu perkara ganjil dan pelik. Jika seseorang itu berjuang di dalam sebuah gerakan atau jemaah Islam tanpa dia sendiri mengetahui akan sebab musababnya mengapa dia perlu memilih dan menyertai jemaah tersebut. Maka disini Hamid akan menerangkan seberapa daya yang dapat memastikan bahawa setiap individu yang memilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bukan sekadar yakin tetapi mampu berhujah dan mempertahankan pegangannya dan bukannya taklid buta ataupun hanya mengikut orang sahaja. Itulah sebabnya mengapa kebanyakan ahli PAS tidak merasakan dirinya kalah didalam pertarungan pilihanraya yang lepas akan tetapi terpancar kepuasan kerana mereka semua telah sedaya upaya berjuang kerana mereka meyakini bahawa mereka berjuang di atas jalan yang benar!


Firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 36

"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta pertanggungan jawabnya."

Sahabatku, sebelum Hamid melangkah lebih jauh lagi maka perlulah Hamid membawa kamu menyorot kembali akan rentetan sejarah agar ia dapat menjadi pedoman untuk kita, bahawa untuk berjuang menegakkan kalimah Allah itu tidaklah semudah menabur benih di atas tapak semaian.

Peranan untuk mendidik dan membina individu-individu, masyarakat dan negara supaya menjalani kehidupan seharian di atas paksi tauhid adalah menjadi tugas dan tanggungjawab mereka yang memerintah, samada pemerintah negara atau khalifah Islamiyyah. Peranan ini berjaya dilaksanakan sewaktu pemerintahan Rasulullah SAW, diikuti oleh Khulafa' ar-Rasyidin dan para pemimpin Khalifah Islamiyyah yang terakhir.

Jika kamu hendak tahu bahawa setelah keruntuhan Khalifah Islamiyyah di Turki pada tahun 1924, peranan menggerakkan Harakah Islamiyyah tidak lagi berada di bawah pemerintah Islam. Jika ditinjau dan dibuat penelitian dapatlah kita lihat dengan ketiadaan sesebuah khalifah, maka umat Islam ditindas dengan sewenang-wenangnya.

Ia semakin parah dengan adanya anak didik mereka (pihak penjajah) yang mereka bentuk melalui sistem pendidikan yang berteraskan Barat dengan tujuan agar anak-anak didik ini terus mengikut kemahuan pihak mereka walaupun negara tersebut sudah merdeka. Cuba kita tengok keadaan Malaysia sekarang ini dan bandingkan dengan apa yang Hamid telah cakapkan.

Maka dengan itu para ulama' di negeri atau wilayah masing-masing bertindak menubuhkan jamaah Islam dengan tujuan untuk menyeru umat Islam agar kembali kepada Islam dan ditegakkan sebuah Khilafah Islamiyyah. Dengan itu tertubuhlah jamaah-jamaah seperti Gerakan al-Ikhwanul Muslimun yang diasaskan oleh as-syahid Imam Hassan al-Banna di Mesir pada tahun 1928, Jami'at al-Islami oleh al-Ustaz sayyid Abul A'la al-Maududi di Pakistan pada tahun 1940, Gerakan Jami'atun-Nur oleh Badi'uzzaman Said al-Nursi di Turki. Gerakan Masyumi oleh Bapak Muhammad Nathir atau Tengku Muhammad Daud Buru'eh di Acheh pada 1912 dan Gerakan Hizbul Muslimin oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir di Tanah Melayu pada tahun 1948 yang kemudiannya diharamkan oleh penjajah British dan seterusnya disambung oleh Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) pada tahun 1951.


Mengapa Hamid memilih PAS sebagai jamaah yang perlu didokongi dan bukannya jamaah lain? Wahai sahabatku! Itulah sebabnya Hamid memilih PAS sebagai wadah perjuangan banyak sebabnya, nanti Hamid akan memperincikan kepada kamu tentang sebab musababnya kemudian.

Cuma apa yang perlu Hamid tekankan ialah terhadap PAS tidak pula mempunyai ta'sub terhadap PAS atau kepada pimpinan PAS, namun bersifat terbuka tanpa menidakkan sumbangan orang lain ke arah mempercepatkan perkembangan Islam di Malaysia khususnya.

Walau bagaimanapun kita menganggap bahawa jamaah lain adalah sebagai adik kita dimana kita sebagai abang tidaklah boleh melatah jika diusik oleh adik kita.

Sahabatku, untuk menjelaskan mengapa PAS yang dipilih maka Hamid akan pecahkan kepada dua bahagian iaitu pecahan pertama iaitu ciri-ciri sebuah Harakah Islamiyyah dan pecahan kedua ialah Hizbullah Hanya Satu.

Sahabatku, sebelum kita memilih jemaah untuk diperjuangkan, kita mestilah memastikan samada Jemaah itu mempunyai ciri-ciri sebuah Harakah Islamiyyah ataupun tidak. Sahabatku, seseorang yang melibatkan diri dalam amal Islami, wajib terlebih dahulu memahami dan mengenali terlebih dahulu jamaah yang hendak disertainya. Ini bertujuan supaya mereka membuat pilihan yang tepat dan dapat menyumbangkan tenaga mereka secara berkesan dan sekaligus tenaga-tenaga ini dapat dimanafaatkan untuk mencapai cita-cita menegakkan Islam di bumi Allah SWT.

Untuk permulaan Hamid akan menyebut ciri jamaah Islam yang umat Islam wajib bergantung dengannya untuk bersama-sama memikul tugas pejuangan Islam. Ciri pertama ialah sesuatu jemaah yang ditubuhkan di atas kesedaran untuk melaksana (pembaharuan berdasarkan Islam).

Saya terlopong mendengar kerana baru pertama kali itulah mendengar perkataan yang saya merasakan pelik, Hamid melihat saya terlopong dengan tersenyum. Lalu Hamid menjawab..

Sahabatku, janganlah terburu-buru untuk memahami sesuatu perkara kerana manusia ini dijadikan berperingkat-peringkat, ia kena melalui beberapa perkara dulu untuk memahami apa yang dikehendaki itu.

Saya tersipu-sipu malu mendengar teguran Hamid, salah saya sebab tergopoh-gopoh sangat.

Penubuhan jamaah untuk perjuangan Islam adalah satu urusan yang berhubung dengan perintah Allah yang wajib dilaksanakan. Ianya ditubuhkan di atas kesedaran untuk memelihara dan memperjuangkan ketinggian ajaran Islam dan kemuliaannya.

Apabila timbul satu keadaan di mana umat Islam dan pemerintahannya meninggalkan ajaran Islam maka Allah pasti akan menggantikan mereka dengan satu golongan baru yang akan berjuang menegakkan Islam.

Firman Allah SWT di surah al-Maidah ayat 54 hingga 56

"Wahai orang-orang yang beriman! Barang siapa yang murtad di kalangan kamu dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela, itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolong mereka, maka sesuangguhnya HIZBULLAH itulah yang pasti menang."

Selain daripada itu, Rasulullah SAW juga telah menyebutkan bahawa akan sentiasa ada dikalangan umatnya yang akan memperbaharui urusan agama yang telah diselewengkan.

Baginda telah bersabda:

"Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk umat ini bagi setiap seratus tahun, seseorang yang akan memperbaharui urusan-urusan agamaNya"

Sahabatku, kesemua yang telah disebutkan tadi adalah merupakan ciri pertama sebuah Harakah Islamiyyah, kita pergi pula kepada ciri kedua iaitu Jemaah yang mendokong dan memelihara kesyumulan (kesempurnaan) ajaran Islam dan kesejagatanya.

Kalaulah kamu nak tahu, setelah sesebuah Harakah Islamiyyah itu ditubuhkan di atas kesedaran untuk melaksanakan tajdid, maka perlulah ia mendokong dan membawa semua atau keseluruhan daripada ajaran Islam tanpa memberi pengecualian.

Ciri yang pertama yang telah Hamid sebutkan tadi tidak membawa apa-apa makna sekiranya jemaah tidak sanggup menyatakan secara jelas dan nyata samada secara lisan atau tulisan, bahawa jemaah berkenaan memperjuangkan Islam secara syumul!

Ini menepati perintah Allah SWT yang memerintahkan umat Islam yang telah menyatakan keimanan mereka dengan Islam agar menerima Islam seluruhnya

Firman Allah SWT

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan." (surah al-Baqarah ayat 208)

Daripada ayat yang telah disebutkan oleh Hamid tadi bermakna kita tidak boleh mengambil sebahagian daripada Islam dan menolak sebahagian yang lain, seperti mana Islam Hadhari, Islam Hadhari adalah konsep merupakan satu juzuk daripada al-Quran maka konsep itu hendaklah ditambah lagi dengan kesemua elemen-elemen Islam yang lain yang menyebabkan menjadikan Islam itu syumul.

Kalau tidak perbuatan sedemikian rupa seperti mana mengagungkan Islam Hadhari meninggalkan sebahagian yang lain adalah dikutuk dan mendapat ancaman daripada Allah SWT seperti mana Firman Allah SWT

"Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab (Taurat) dan engkar terhadap sebahagian yang lain? Tiada balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka dikembalikan kepada siksaan yang amat berat."
(surah al Baqarah ayat 85)


Di dalam hal ini PAS dengan tegasnya menyatakan bahawa Islam mestilah ditegakkan di Malaysia dan bukan secara tempelan sahaja. Pimpinan PAS sering mengingatkan anggota jemaahnya serta masyarakat Malaysia bahawa hanya dengan Islam sahajalah akan membawa kesejahteraan kepada masyarakat dan negara!

Sekarang kita pergi terus kepada ciri kedua iaitu Jemaah yang memelihara tradisi ilmiyyah dan 'aqliyyah, Apa makna tu? Ia memberi makna bahawa usaha untuk menggiat ilmiyyah dan 'aqliyyah di samping kegiatan-kegiatan yang lain mestilah digerakkan oleh Harakah Islamiyyah.

Kegiatan yang bercorak amali seperti kegiatan ekonomi, sosial, politik dan pendidikan adalah amat penting dan harus dipertingkatkan dari masa ke semasa, namun kegiatan ilmiyyah adalah bertujuan untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat adalah amat penting.

Ini kerana adanya kefahaman Islam yang tinggi barulah satu perjuangan itu memberi makna dan
tidak sekadar di atas semangat yang berkobar-kobar semata-mata. Jika dikaji, inilah perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sewaktu menghadapi masyarakat jahiliyyah pada waktu itu.

Satu perjuangan lebih-lebih lagi diatas nama Islam sudah pasti akan memerlukan pengorbanan yang tinggi dan seterusnya menghadapi ujian yang banyak. Maka jika tidak ada kefahaman, keimanan dan amalan, sudah pasti seseorang itu hanyut dibawa dek harus kerana kejahilan dirinya sendiri

Tiada ulasan:

Gerakan Islam Moden

Gerakan Islam Moden
Ikhwanul Muslimin

Fatamorgana